Monday, May 28, 2012

Berbicara Dengan Waktu...

In The Name of Allah

“Tak ada masa laaa.”
“Kenapa rasa sekejap sangat?”
“Pergh, cepatnya masa berjalan…”
Rungutan yang biasa menjengah ke cuping telinga saya, dan biasa juga terluncur keluar dari bibir saya sendiri. Ya, masa itu berjalan dengan pantas. Maka ramailah manusia yang menjalani kehidupan dengan sia-sia, kerana dia tidak mengambil berat mengenai masa. Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian….”
(Al-‘Asr: 1-2)
Allah S.W.T sendiri bersumpah dengan masa, kemudian mengaitkannya dengan kerugian manusia. Nyata di sini, rata-rata manusia rugi kerana tidak mengisi kehidupan mereka dengan baik.
Saya sendiri suatu masa dahulu bukanlah penyusun waktu yang baik. Saya berpendapat ketika itu, jadual hanya sekadar mengongkong dan tidak akan memberi kebebasan untuk kita bergerak. Saya yang ada pada hari ini, kalau melihat saya ketika itu, mungkin akan tertawa kecil. Ya, saya saya ketika itu hanya melihat jadual berdasarkan jadual di sekolah dan jadual ketat yang bapa saya susun untuk saya. Sebab itu saya benci kepada jadual.



Keadaaan itu berlarutan hinggalah pada suatu hari, ketika saya sudah membesar dan belajar di sekolah menengah, saya mendengar satu penyampaian daripada seorang guru saya. Dia ada menyatakan mengenai Fiqh Awlawiyyat, yakni fikah keutamaan. Dari situ saya mendapat satu kebolehan, iaitu…. berbicara dengan waktu. Ini bukanlah sesuatu yang ajaib. Anda juga mampu berbicara dengan waktu. Bagaimana?
Apa yang saya dapat daripada penyampaiannya ketika itu ialah hidup manusia ini perlu disusun dengan baik. Yang utama perlu diutamakan, yang penting perlu didahulukan dan yang tidak ‘urgent’ boleh dilewatkan. Penyusunan itu adalah untuk mengelakkan kita daripada membazirkan masa atas perkara-perkara yang tidak penting, sehingga meninggalkan perkara-perkara yang penting.

Kemudian saya cuba menyusun kehidupan saya. Akhirnya saya terkejut.
“Banyaknya masa yang aku ada…” itulah yang terluncur keluar dari mulut saya apabila pertama kali menyusun kehidupan saya. Sehingga kini pun, saya masih boleh punya banyak kerja, tetapi tidak mengganggu hidup pun. Semuanya kerana berbicara dengan waktu.

Hidup ini ada 24 jam. Jika anda perhatikan, manusia biasanya akan tidur selama 6 jam sehari. Maka sehari masih ada baki 18 jam. 18 jam… terlalu banyak. Anda boleh isi dengan pelbagai perkara, lebih0lebih lagi ketika hujung minggu atau musim cuti.

Apabila kita menyusun kehidupan kita, menyusun aktiviti kita, merangka kehidupan kita dengan baik, kita akan lihat sebenarnya dalam kehidupan ini kita mempunyai ruang yang luas untuk diisi. Kita juga mempunyai masa yang banyak untuk digunakan. Jika kita ingin menyusun kehidupan kita, maka model atau contoh terbaik dalam menyusun masa ialah Rasulullah S.A.W.

Anda lihat RasulullahS.A.W, Baginda seorang pendakwah, Baginda juga seorang bapa, hakim, kepala Negara, suami, seorang sahabat, kepala perang dan hamba kepada Allah. Namun dalam kesibukannya, Baginda sempat lagi berlumba lari dengan isterinya Aisyah. Baginda sempat lagi bergaul dan makan bersama orang miskin. Sempat lagi baginda menjahit baju dan terompahnya yang koyak. Baginda sempat pula duduk lapang dengan isterinya, bercanda dengan sahabat-sahabat dan member penyampaian. Baginda masih punya masa untuk menjadi imam setiap waktu solat dan masih ada lagi masa untuk menyebarkan islam kepada orang kafir.

Nah….
Itu belum dikira lagi ibadahnya.
Bagaimana? Bukankah masa hidup Rasulullah
sehari 24 jam juga?Baginda mampu melakukan pelbagai hal, pelbagai perkara dan semua perkara itu bermakna. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam pengagihan masa. Kerja-kerjanya tiada yang tertangguh, semuanya terlaksana. Pada masa yang sama, segala hak Baginda penuhi. Hak kepada masyarakat, hak kepada keluarga, hak kepada dirinya dan hak kepada Allah SWT.
Apakah tips Rasulullah SAW? Sabda Baginda yang bermaksud:

“Daripada kebaikan islam ialah seseorang itu meninggalkan apa-apa yang tidak berguna padanya (tidak bermakna).”

Nah…
Adakah anda tidak teringin berbicara dengan waktu? Mungkin waktu boleh melapangkan dirinya sedikit untuk anda jika anda berbicara dengan baik kepadanya.

-Hilal Asyraf-

No comments: